Showing posts with label Akhbar. Show all posts
Showing posts with label Akhbar. Show all posts

Friday, February 22, 2008

Bakal Menteri Besar Kelantan?


Bakal Menteri Besar Kelantan?


AWANG Adek Hussin dijulang oleh calon-calon Barisan Nasional selepas diumumkan sebagai bakal Menteri Besar Kelantan pada majlis pengumuman senarai calon BN di Bukit Marak, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU 21 Feb. - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin mengetuai senarai calon Barisan Nasional (BN) Kelantan yang diumumkan hari ini sekali gus mengesahkan beliau sebagai calon Menteri Besar kelak.

Beliau akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perupok dan Parlimen Bachok bersama 60 peratus calon baru yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan usia.

Bagaimanapun tiada kejutan dalam senarai yang diumumkan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Annuar Musa di kediaman di sini.

Ini kerana kesemua 22 wakil rakyat BN sebelum ini dikekalkan sebagai calon termasuk dua yang berpindah ke kerusi Parlimen.

Annuar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang sebelum ini ADUN Kok Lanas akan bertanding bagi kerusi Parlimen Ketereh dan penyandang sedia ada, Datuk Alwi Che Ahmad akan mengambil alih tempatnya.

Bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Che Min Che Ahmad akan berpindah dari kerusi Parlimen Pasir Puteh ke kerusi DUN Limbongan manakala Amran Mat Nor dari DUN Selising menggantikannya.

Bagi kerusi Parlimen, dua penyandangnya digugurkan iaitu Datuk Zaid Ibrahim (Kota Bharu) yang digantikan oleh Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh dan Datuk Mohd Razali Che Mamat (Kuala Krai) digantikan oleh Dekan Fakulti Alam Bina Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Che Musa Che Omar.

Kesemua Ketua Bahagian turut dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 nanti, kecuali Ketua Bahagian Pasir Mas, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman yang sedia memberi laluan bagi membolehkan BN melakukan perubahan.

Bagi kawasan DUN, daripada 45 kerusi, 24 daripadanya adalah muka baru yang buat pertama kalinya turut menyenaraikan Naib Ketua Puteri UMNO negeri iaitu Kazuni Datuk Osman, 39, bagi kerusi DUN Tanjong Mas di samping calon tunggal Wanita, Datin Rahimah Mohamad (Ketua Wanita UMNO Machang).

Menurut Annuar, dalam menyusun senarai calon, BN telah mengambil kira penerimaan segenap lapisan politik melalui kesepakatan bersama di peringkat bahagian di samping kewibawaan dan keupayaan mereka menterjemahkan manifesto BN.

''Kita turut meneliti bakal saingan di kawasan masing-masing untuk memastikan kita dapat menawarkan kepada rakyat calon yang lebih baik dan mampu memberi kemenangan majoriti dua pertiga.

''BN mengambil pendekatan berani dan tidak konvensional tetapi secara strategik dalam hal ini dengan tekad membentuk sebuah kerajaan yang dapat membela nasib rakyat dan membawa Kelantan melangkah ke era baru," ujarnya.

Mengenai kedudukannya, Annuar berkata, beliau bertanding bagi kerusi Parlimen kerana mengutamakan strategi parti dan ia merupakan sebahagian daripada pengorbanan.

Dr. Awang Adek juga merasa terharu dengan penghormatan dan kepercayaan yang diberikan terhadapnya.

Beliau menegaskan, meskipun terpaksa memikul tanggungjawab yang cukup berat memenuhi tuntutan parti dan harapan rakyat, ia akan dilakukan dengan penuh komitmen untuk membangunkan negerinya.

Utusan Malaysia Online

Monday, February 18, 2008

Wednesday, February 13, 2008

Detiknya sudah tiba....


Parlimen bubar hari ini

13/02/2008 1:39pm

PUTRAJAYA 13 Feb. - Parlimen dibubarkan hari ini bagi membolehkan pilihan raya umum ke-12 diadakan.

Serentak dengan itu semua Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali Sarawak, turut dibubarkan.

Pengumuman pembubaran Parlimen itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ia dibuat selepas Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi ini bagi mendapatkan perkenan Seri Paduka.

Berikut adalah transkrip penuh kenyataan akhbar Perdana Menteri pada sidang akhbar khas di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada pukul 12.35 tengah hari ini:

``Saya ingin mengumumkan mengenai pembubaran parlimen pada hari ini setelah mengadap Yang di-Pertuan Agong pada pagi ini.

``Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk membubarkan parlimen berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan pilihan raya umum ke-12 dijalankan.

``Yang di-Pertuan Agong menandatangani perisytiharan pembubaran parlimen.

``Dengan itu, kerajaan-kerajaan negeri turut dinasihatkan membubar Dewan Undangan Negeri berkuat kuasa pada hari yang sama.

``Suruhanjaya Pilihan Raya juga sudah dimaklumkan mengenai perkara ini.”

Utusan Malaysia Online

Sunday, February 3, 2008

Pelabuhan perikanan di Kemasin

BACHOK 30 Jun – Kerajaan Pusat memperuntukkan RM70 juta bagi membina pelabuhan perikanan di Kemasin, di sini, yang bakal menjadi pelabuhan kedua terbesar di Kelantan, yang diharap dapat memberi faedah kepada lebih 400 nelayan tempatan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata fasa pertama projek itu membabitkan kerja-kerja memperluas serta mendalamkan muara sungai oleh sebuah syarikat tempatan.

Beliau berkata, fasa kedua projek-projek itu pula akan membabitkan pembinaan jeti, pusat pendaratan dan kompleks perikanan bagi kemudahan pendaratan ikan serta pemasaran hasil tangkapan nelayan.

“Keseluruhan projek dijangka siap akhir tahun depan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui sempena lawatan pegawai-pegawai Kementerian Kewangan ke Parlimen Bachok, di sini, hari ini.

UMK lengkapkan universiti awam di setiap negeri

KOTA BHARU 1 Julai – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang mula mengambil kumpulan pelajar perintisnya hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila ia melengkapkan kewujudan sebuah universiti awam di setiap negeri.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ia menandakan satu pencapaian besar dalam bidang pendidikan tinggi negara yang kini memiliki 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

‘‘Bagi rakyat Kelantan pula, ia suatu kebanggaan apabila UMK terhasil dan menjadi kenyataan setelah penantian lebih 20 tahun bagi melihat tertubuhnya sebuah universiti awam di negeri ini.

‘‘Saya sendiri cukup terharu apabila melihat sesi pendaftaran pelajar pada pagi ini kerana ia merupakan satu senario baru di negeri ini dan semua ini akan menjadi peristiwa yang tidak akan saya lupakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Taklimat UMK Bersama Ibu Bapa di Kampus Sementara UMK, Pengkalan Chepa dekat sini hari ini.

Seramai 400 pelajar dari seluruh negara mula mendaftar hari ini untuk mengikuti sesi pengajian tahun 2007/2008 dalam empat program Ijazah Sarjana Muda iaitu Keusahawanan, Sains Gunaan (Keusahawanan Teknologi Pertanian), Teknologi Kreatif dan Pengajian Warisan.

Sementara itu, Mustapa berkata, walaupun UMK ditubuhkan di Kelantan, namun orientasi universiti ini tetap bersifat nasional dengan pengambilan pelajar itu sendiri adalah 75 peratus melibatkan pelajar dari luar Kelantan.

Katanya, ini kerana menjadi dasar kerajaan bahawa setiap universiti awam di negara ini tanpa mengira di mana pun ia diwujudkan bukanlah eksklusif untuk rakyat sesuatu negeri tetapi ia adalah untuk semua rakyat Malaysia.

‘‘Malah, kumpulan pelajar sulung UMK juga menyaksikan 29 peratus adalah pelajar bukan bumiputera termasuk dari Sabah dan Sarawak.

‘‘Selain itu saya turut memuji perjalanan proses pendaftaran yang berlangsung di UMK apabila masa yang diperlukan sehingga selesai mendaftar bagi seorang pelajar hanyalah kira-kira 15 minit.

‘‘Walaupun segala-galanya di UMK adalah baru, namun Alhamdulillah saya sangat gembira dan kesemua ibu bapa juga berpuas hati apabila segala urusan berjalan lancar,” ujarnya.

Dalam pada itu ketika ditanya berhubung pembinaan kampus induk UMK di Bachok dan kampus cawangan di Jeli, Mustapa berkata, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan sebaik sahaja kelulusan tanah diperoleh.

‘‘Untuk kampus induk, dari segi tapak tidak ada masalah cumanya terdapat sedikit masalah birokrasi berhubung kerja-kerja ukur tanah yang belum selesai membuatkan kelulusan tanah belum dapat diperoleh,” katanya.

Anak Kelantan perantau tentukan peluang BN

BACHOK 28 Julai – Rakyat Kelantan yang terpaksa merantau mencari peluang pekerjaan yang tidak ditawarkan di negeri ini, menjadi penentu penting sama ada Barisan Nasional (BN) mampu merampas tampuk pentadbiran negeri pada pilihan raya umum akan datang atau tidak.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, atas faktor itu golongan ini tidak boleh diabaikan sebaliknya perlu didampingi dengan memberi kesedaran berhubung tanggungjawab mereka menyokong BN.

Katanya, ini kerana hanya kerajaan BN sahaja yang mampu membawa pembangunan kepada rakyat seperti yang mereka dapat lihat di negeri-negeri tempat mereka berhijrah mencari rezeki.

‘‘Jumlah pengundi yang bermastautin di luar Kelantan cukup ramai misalnya di kawasan Shah Alam sahaja terdapat lebih 40,000 orang.

‘‘Sebab itu mereka ini yang akan menjadi penentu sama ada negeri kelahiran mereka akan terus mundur di bawah kepimpinan Pas atau mampu bangkit maju seiring dengan negeri-negeri lain yang mereka berhijrah itu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan UMNO Bahagian Bachok 2007 di Sekolah Menengah Teknik Bachok, dekat sini hari ini.

Pada majlis yang sama Dr. Mohamad Khir turut melepaskan lima ekor merpati putih sebagai simbolik kepada usaha menawan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen Bachok pada pilihan raya akan datang.

Gimik melepaskan burung merpati itu turut disaksikan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Timbalannya, Datuk Dr. Ilias Husain.

Dr. Mohamad Khir berkata, ramai rakyat Kelantan yang berjaya dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan, keusahawanan, akademik dan sebagainya kini terpaksa menabur bakti di luar sedangkan ini tidak akan berlaku sekiranya kerajaan Pas dapat memajukan negeri ini.

Tambah beliau, dari segi itu sepatutnya golongan perantau sedar yang pimpinan Pas sebenarnya tidak berwawasan dan tiada perancangan jangka panjang kecuali demi kepentingan politik sendiri.

“Selepas mencapai kemenangan, amanah membangunkan negeri dan membela kesejahteraan rakyat diabaikan melainkan memberikan bantuan apabila menjelang pilihan raya umum,” jelasnya.

Berhubung dengan tanggungjawab pengundi luar Kelantan yang bekerja di Selangor, katanya, Badan Perhubungan UMNO Negeri itu sedia bekerjasama dengan BN Kelantan bagi merealisasikan matlamat Kelantan Baru dan Kelantan Maju.

Katanya, pertemuan dengan pelajar, pendidik dan warga perindustrian rakyat Kelantan di negeri itu perlu disusun atur dalam tempoh yang terdekat.

UMNO Kelantan terima siapa sahaja calon

BACHOK 27 Jan. – UMNO Kelantan menyambut baik ingatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu setiap pemimpin parti itu menerima hakikat bahawa ada dalam kalangan mereka yang tidak akan terpilih sebagai calon pada pilihan raya umum ke-12.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, pemimpin UMNO negeri tidak mempunyai masalah dan menerima dengan terbuka bahawa pemilihan calon diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti.

Menurut beliau, setiap keputusan akan diterima dan dipatuhi tanpa berbelah-bahagi kerana yang paling penting adalah agenda bagi memastikan kemenangan parti demi kebaikan semua rakyat Kelantan.

“Siapa sahaja calon yang dipilih kita akan terima, perkara ini (calon) tidak menjadi isu dan masalah di Kelantan kerana semua akur, setuju dan patuh dengan keputusan pucuk pimpinan kerana yang paling penting ialah memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dan merampas kembali negeri daripada Pas,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan 45 kunci gerai perniagaan di Pantai Irama dan Tangok kepada penyewanya di sini hari ini.

Gerai yang terletak di kawasan strategik dan menjadi tumpuan orang ramai serta menelan kos sebanyak RM680,000 itu telah siap dibina dan diduduki oleh peniaga terbabit pada tahun lalu.

Semalam, Najib mengingatkan setiap pemimpin UMNO supaya menerima hakikat bahawa ada dalam kalangan mereka yang tidak akan terpilih sebagai calon pada pilihan raya umum ke-12.

Sehubungan itu Timbalan Presiden UMNO itu berkata, mereka harus bersedia untuk menerima apa juga keputusan pucuk pimpinan sama ada terpilih atau sebaliknya.

Beliau menegaskan, sebagai anggota kepada sebuah parti, mereka tertakluk kepada apa jua keputusan serta peraturan dan disiplin yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai peluang kemenangan BN di negeri ini, Awang Adek berkeyakinan penuh dengan sokongan seluruh rakyat yang mahukan perubahan. Dengan kekuatan dan kerjasama antara parti komponen, kemenangan itu akan menjadi kenyataan, katanya.

Beliau berkata, rakyat negeri ini sudah muak dengan pelbagai janji Pas untuk membawa kemakmuran ke negeri ini sedangkan selepas 18 tahun memerintah mereka langsung tidak membuat sebarang perubahan hingga menjadikan negeri ini jauh ketinggalan.

“Kita tengok Terengganu yang kini ternyata amat pesat membangun hasil perubahan yang dibawa oleh kerajaan BN dan ia kini terlalu jauh meninggalkan Kelantan.

‘‘Rakyat kini sudah bijak untuk menilai pihak mana yang berupaya memberi kesenangan dan manfaat kepada mereka,” katanya.

Timur: Subsidi pendidikan tahun ini RM3b

Berita Harian Online
Oleh Haspaizi Mohd Zain


BACHOK: Keprihatinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap pendidikan rakyat, menyaksikan subsidi untuk bidang itu ditingkatkan kepada RM3 bilion sepanjang tahun ini berbanding RM1.8 bilion tahun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata usaha itu adalah untuk membolehkan anak-anak rakyat negara ini mendapat pendidikan yang sempurna demi masa depan mereka.

"Jumlah subsidi itu adalah bukti pendidikan menjadi agenda utama kerajaan BN kini untuk semua anak-anak tanpa mengira latar belakang keluarga masing-masing.

"Daripada peruntukan itu, murid keluarga miskin turut diberi bantuan subsidi menerusi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan susu sekolah membabitkan peruntukan lebih RM267 juta.

"Malah, kerajaan turut menaikkan kadar biasiswa persekolahan daripada RM50 kepada RM70 sebulan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok memberitahu pemberita selepas merasmikan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Golok bernilai RM17 juta dekat sini, semalam.

Dr Awang Adek berkata, kerajaan turut menanggung subsidi bagi pelajar dan murid yang tinggal di asrama pada kadar RM12 sehari untuk 478,778 pelajar seluruh negara membabitkan peruntukan RM247 juta.

Mengulas pembiayaan pendidikan untuk anak-anak sekitar Bachok, beliau berkata, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok diberi peruntukan RM90,000 bagi membiayai program peningkatan penguasaan bahasa Inggeris.

"Selain itu kerajaan juga akan membina lima lagi sekolah kebangsaan di sekitar Bachok dan turut menaik taraf 29 sekolah dengan peruntukan antara RM2.5 juta hingga RM3 juta bagi setiap sekolah," katanya.