Sunday, February 3, 2008

Anak Kelantan perantau tentukan peluang BN

BACHOK 28 Julai – Rakyat Kelantan yang terpaksa merantau mencari peluang pekerjaan yang tidak ditawarkan di negeri ini, menjadi penentu penting sama ada Barisan Nasional (BN) mampu merampas tampuk pentadbiran negeri pada pilihan raya umum akan datang atau tidak.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, atas faktor itu golongan ini tidak boleh diabaikan sebaliknya perlu didampingi dengan memberi kesedaran berhubung tanggungjawab mereka menyokong BN.

Katanya, ini kerana hanya kerajaan BN sahaja yang mampu membawa pembangunan kepada rakyat seperti yang mereka dapat lihat di negeri-negeri tempat mereka berhijrah mencari rezeki.

‘‘Jumlah pengundi yang bermastautin di luar Kelantan cukup ramai misalnya di kawasan Shah Alam sahaja terdapat lebih 40,000 orang.

‘‘Sebab itu mereka ini yang akan menjadi penentu sama ada negeri kelahiran mereka akan terus mundur di bawah kepimpinan Pas atau mampu bangkit maju seiring dengan negeri-negeri lain yang mereka berhijrah itu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan UMNO Bahagian Bachok 2007 di Sekolah Menengah Teknik Bachok, dekat sini hari ini.

Pada majlis yang sama Dr. Mohamad Khir turut melepaskan lima ekor merpati putih sebagai simbolik kepada usaha menawan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen Bachok pada pilihan raya akan datang.

Gimik melepaskan burung merpati itu turut disaksikan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Timbalannya, Datuk Dr. Ilias Husain.

Dr. Mohamad Khir berkata, ramai rakyat Kelantan yang berjaya dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan, keusahawanan, akademik dan sebagainya kini terpaksa menabur bakti di luar sedangkan ini tidak akan berlaku sekiranya kerajaan Pas dapat memajukan negeri ini.

Tambah beliau, dari segi itu sepatutnya golongan perantau sedar yang pimpinan Pas sebenarnya tidak berwawasan dan tiada perancangan jangka panjang kecuali demi kepentingan politik sendiri.

“Selepas mencapai kemenangan, amanah membangunkan negeri dan membela kesejahteraan rakyat diabaikan melainkan memberikan bantuan apabila menjelang pilihan raya umum,” jelasnya.

Berhubung dengan tanggungjawab pengundi luar Kelantan yang bekerja di Selangor, katanya, Badan Perhubungan UMNO Negeri itu sedia bekerjasama dengan BN Kelantan bagi merealisasikan matlamat Kelantan Baru dan Kelantan Maju.

Katanya, pertemuan dengan pelajar, pendidik dan warga perindustrian rakyat Kelantan di negeri itu perlu disusun atur dalam tempoh yang terdekat.

No comments: