Friday, February 8, 2008

Bachok: Janji bela rakyat ditunai

Bachok: Janji bela rakyat ditunai
Haspaizi Mohd Zain (Petikan drp Berita Harian) Tuesday, 05 February 2008

BACHOK: Usaha membina kesejahteraan rakyat sebenarnya tidak memerlukan masa yang panjang dan ini sudah dibuktikan oleh Barisan Nasional (BN) di Parlimen Bachok menerusi kepemimpinan Ahli Parlimennya, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Image Sejak penduduk memilihnya menerajui kawasan Parlimen itu pada pilihan raya umum 2004, serta dibantu oleh Datuk Dr Ilias Hussain sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelawat, pelbagai perubahan dijana oleh dua wakil BN itu.

Malah, pembangunan di kawasan yang diterajui dua pemimpin BN itu amat menyerlah, berbanding sepanjang lapan tahun Parlimen Bachok dan tiga DUN di bawahnya iaitu Jelawat, Perupok dan Tawang, diwakili wakil Pas. Image

Kegagalan lapan tahun Pas itu ditebus wakil BN dalam masa singkat menerusi pelbagai pembangunan demi kesejahteraan rakyat Bachok yang selama ini sekadar menumpang megah keindahan Pantai Irama yang tidak terurus.

Adun Jelawat, Datuk Dr Ilias Hussain, berkata usaha membela rakyat di seluruh Parlimen Bachok, dilaksanakan BN sebaik diberi peluang mulai 2004 lalu.

"Apa yang kita janjikan kepada rakyat pada pilihan raya 2004, semuanya kita tunaikan, bahkan bantuan kepada rakyat tetap disalurkan walaupun tidak dijanjikan ketika berkempen dulu.

"Lebih daripada itu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), yang menjadi impian dan harapan seluruh rakyat Kelantan selama ini, kini bertapak di Bachok, dan bukti kesungguhan BN membela rakyat negeri ini," katanya.


Image Dr Illias berkata, zaman malap Bachok sepanjang ditadbir wakil rakyat Pas sudah berlalu sebaik BN diberi peluang memenangi kawasan berkenaan.

Katanya, perubahan terhadap kawasan Bachok yang dinikmati sepanjang empat tahun ini, seolah-olah menukarkan kawasan terpencil itu kepada perbandaran demi memastikan rakyat tidak lagi terpinggir.

"BN membawa masuk beberapa projek besar ke Bachok seperti UMK, Hospital Bachok, Kolej Profesional Mara dan pembesaran Kuala Kemasin yang dilihat bakal mengubah iklim ekonomi kawasan itu tidak lama lagi.

"Di sebalik projek ini, kita tidak pernah lupa kepada golongan miskin yang memerlukan bantuan secara langsung bagi menambah keselesaan hidup mereka.

"Selain bantuan membaiki rumah yang rosak atau kurang sempurna, kita juga membantu mendapatkan bantuan bagi pembinaan rumah yang uzur di kalangan penduduk daif," katanya.

Beliau berkata, pendidikan untuk anak-anak juga menjadi agenda utama menerusi pembinaan beberapa sekolah baru, selain peruntukan naik taraf sekolah sehingga RM3 juta bagi sekolah terpilih.

Demi kesihatan penduduk, Hospital Bachok akan dibina tidak jauh dari Jelawat membabitkan kos RM70 juta, sementara Klinik Kesihatan Mahligai dinaik taraf dengan peruntukan RM12 juta.

Untuk keselesaan penduduk berulang alik setiap hari bagi apa juga urusan mereka, jalan kampung sekitar Jelawat saja dipastikan berturap tar menerusi agihan peruntukan berjumlah lebih RM20 juta.

"Peruntukan itu adalah untuk projek kecil seperti naik taraf masjid, menurap jalan kampung, membina kemudahan sukan untuk golongan belia dan membaiki rumah penduduk miskin.

"Saya yakin segala pembangunan yang dibawa BN mampu meningkatkan keselesaan hidup rakyat dan membantu mereka keluar daripada kelompok miskin tegar," katanya.
Image
Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian berkata, pembinaan UMK dan hospital mampu meningkatkan nilai tanah, seterusnya mendorong pembangunan tanah terbiar milik penduduk sebagai projek perumahan bagi memenuhi permintaan berikutan pertambahan penduduk kelak.
"Rakyat sudah melihat bukti keupayaan wakil rakyat BN bekerja demi keselesaan hidup mereka sebaik diberi peluang pada pilihan raya umum 2004 lalu.

"Sewajarnya bukti khidmat rakyat BN selama ini mendorong pengundi memastikan kawasan yang masih diwakili Pas seperti DUN Perupok dan Tawang di Bachok, diberi peluang kepada BN pada pilihan raya kali ini.

"BN hanya memerlukan satu peluang kembali memerintah Kelantan pada pilihan raya umum akan datang, untuk membuktikan apa yang kita janjikan selama ini akan dipenuhi," katanya.

Penyelia Pembangunan Mukim Seneng, Alias Che Mahmood, 49, berkata rakyat kini sudah jemu dengan janji yang ditabur wakil Pas kerana ia tidak mampu dikotakan.

"Pas boleh disifatkan sebagai parti yang pandai bercakap dan membuat janji palsu kepada rakyat. Segala pembangunan yang ada hingga membawa perubahan kepada Bachok sejak 2004 adalah hasil perjuangan pemimpin BN.
Image

"Pembinaan 33 rumah Asnaf zakat bernilai RM18,000 setiap satu, 240 rumah mesra rakyat dengan setiap satu berharga RM46,000 serta subsidi daripada kerajaan sebanyak RM14,000 dan 240 rumah mampu milik dibina atas tanah seluas 9.6 hektar, adalah bukti BN prihatin kepada rakyat," katanya.

Bagi Mat Jusoh Awang, 55, berkata beliau bersyukur apabila BN memenangi sebahagian kerusi yang ditandingi dalam Parlimen Bachok pada pilihan raya umum 2004.

"Berikutan itu, rakyat dapat menilai sendiri pemimpin mana, antara BN dengan Pas yang mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat.

"Bagi saya, setelah BN menguasai kawasan ini, banyak perubahan dapat dilihat dan berlaku, kemiskinan semakin terbela, berbeza dengan ketika diwakili Pas sebelum ini," katanya.

Mat Jusoh berkata, selepas melihat pelbagai janji dipenuhi sejak 2004, beliau semakin yakin kepada BN dan menaruh harapan Dr Awang Adek dan Dr Ilias kekal berkhidmat kepada rakyat di Bachok.

Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya BN DUN Tawang, Datuk Ibrahim Mat Din, berkata pengundi DUN Tawang wajar memberi peluang kepada BN mewakili rakyat kawasan itu demi memudahkan usaha membasmi kemiskinan penduduknya.

Katanya, selama 50 tahun DUN Tawang dikuasai Pas, rakyat boleh melihat sendiri betapa tiada sebarang usaha dilakukan wakil rakyat Pas selama ini untuk keselesaan hidup rakyat yang menyokong mereka.

"Perubahan yang dinikmati penduduk Bachok sejak 2004 hingga kini adalah berikutan tindakan pengundi memilih Dr Awang dan Dr Illias sebagai wakil rakyat Parlimen Bachok dan DUN Jelawat pada 2004.

"Saya berharap pengundi akan memberi peluang kepada BN menguasai kerusi Tawang pada pilihan raya umum kali ini demi kebaikan masa depan mereka serta generasi akan datang,” katanya.

FAKTA: Antara jasa BN untuk rakyat Bachok
RM70 juta bina Hospital Bachok
RM17 juta Klinik Kesihatan Mahligai
RM20 juta projek kecil DUN Jelawat (turap jalan, baiki rumah, baiki masjid dan kemudahan sukan)
240 Rumah Mesra Rakyat RM46,000 sebuah
33 Rumah asnaf Zakat RM18,000 sebuah
240 Rumah Mampu Milik
Lokasi Kampus Induk UMK.

daripada.... http://www.guanodemo.net

No comments: