Sunday, February 3, 2008

UMK lengkapkan universiti awam di setiap negeri

KOTA BHARU 1 Julai – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang mula mengambil kumpulan pelajar perintisnya hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila ia melengkapkan kewujudan sebuah universiti awam di setiap negeri.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ia menandakan satu pencapaian besar dalam bidang pendidikan tinggi negara yang kini memiliki 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

‘‘Bagi rakyat Kelantan pula, ia suatu kebanggaan apabila UMK terhasil dan menjadi kenyataan setelah penantian lebih 20 tahun bagi melihat tertubuhnya sebuah universiti awam di negeri ini.

‘‘Saya sendiri cukup terharu apabila melihat sesi pendaftaran pelajar pada pagi ini kerana ia merupakan satu senario baru di negeri ini dan semua ini akan menjadi peristiwa yang tidak akan saya lupakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Taklimat UMK Bersama Ibu Bapa di Kampus Sementara UMK, Pengkalan Chepa dekat sini hari ini.

Seramai 400 pelajar dari seluruh negara mula mendaftar hari ini untuk mengikuti sesi pengajian tahun 2007/2008 dalam empat program Ijazah Sarjana Muda iaitu Keusahawanan, Sains Gunaan (Keusahawanan Teknologi Pertanian), Teknologi Kreatif dan Pengajian Warisan.

Sementara itu, Mustapa berkata, walaupun UMK ditubuhkan di Kelantan, namun orientasi universiti ini tetap bersifat nasional dengan pengambilan pelajar itu sendiri adalah 75 peratus melibatkan pelajar dari luar Kelantan.

Katanya, ini kerana menjadi dasar kerajaan bahawa setiap universiti awam di negara ini tanpa mengira di mana pun ia diwujudkan bukanlah eksklusif untuk rakyat sesuatu negeri tetapi ia adalah untuk semua rakyat Malaysia.

‘‘Malah, kumpulan pelajar sulung UMK juga menyaksikan 29 peratus adalah pelajar bukan bumiputera termasuk dari Sabah dan Sarawak.

‘‘Selain itu saya turut memuji perjalanan proses pendaftaran yang berlangsung di UMK apabila masa yang diperlukan sehingga selesai mendaftar bagi seorang pelajar hanyalah kira-kira 15 minit.

‘‘Walaupun segala-galanya di UMK adalah baru, namun Alhamdulillah saya sangat gembira dan kesemua ibu bapa juga berpuas hati apabila segala urusan berjalan lancar,” ujarnya.

Dalam pada itu ketika ditanya berhubung pembinaan kampus induk UMK di Bachok dan kampus cawangan di Jeli, Mustapa berkata, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan sebaik sahaja kelulusan tanah diperoleh.

‘‘Untuk kampus induk, dari segi tapak tidak ada masalah cumanya terdapat sedikit masalah birokrasi berhubung kerja-kerja ukur tanah yang belum selesai membuatkan kelulusan tanah belum dapat diperoleh,” katanya.

No comments: