Friday, February 22, 2008

Bakal Menteri Besar Kelantan?


Bakal Menteri Besar Kelantan?


AWANG Adek Hussin dijulang oleh calon-calon Barisan Nasional selepas diumumkan sebagai bakal Menteri Besar Kelantan pada majlis pengumuman senarai calon BN di Bukit Marak, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU 21 Feb. - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin mengetuai senarai calon Barisan Nasional (BN) Kelantan yang diumumkan hari ini sekali gus mengesahkan beliau sebagai calon Menteri Besar kelak.

Beliau akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perupok dan Parlimen Bachok bersama 60 peratus calon baru yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan usia.

Bagaimanapun tiada kejutan dalam senarai yang diumumkan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Annuar Musa di kediaman di sini.

Ini kerana kesemua 22 wakil rakyat BN sebelum ini dikekalkan sebagai calon termasuk dua yang berpindah ke kerusi Parlimen.

Annuar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang sebelum ini ADUN Kok Lanas akan bertanding bagi kerusi Parlimen Ketereh dan penyandang sedia ada, Datuk Alwi Che Ahmad akan mengambil alih tempatnya.

Bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Che Min Che Ahmad akan berpindah dari kerusi Parlimen Pasir Puteh ke kerusi DUN Limbongan manakala Amran Mat Nor dari DUN Selising menggantikannya.

Bagi kerusi Parlimen, dua penyandangnya digugurkan iaitu Datuk Zaid Ibrahim (Kota Bharu) yang digantikan oleh Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh dan Datuk Mohd Razali Che Mamat (Kuala Krai) digantikan oleh Dekan Fakulti Alam Bina Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Che Musa Che Omar.

Kesemua Ketua Bahagian turut dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 nanti, kecuali Ketua Bahagian Pasir Mas, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman yang sedia memberi laluan bagi membolehkan BN melakukan perubahan.

Bagi kawasan DUN, daripada 45 kerusi, 24 daripadanya adalah muka baru yang buat pertama kalinya turut menyenaraikan Naib Ketua Puteri UMNO negeri iaitu Kazuni Datuk Osman, 39, bagi kerusi DUN Tanjong Mas di samping calon tunggal Wanita, Datin Rahimah Mohamad (Ketua Wanita UMNO Machang).

Menurut Annuar, dalam menyusun senarai calon, BN telah mengambil kira penerimaan segenap lapisan politik melalui kesepakatan bersama di peringkat bahagian di samping kewibawaan dan keupayaan mereka menterjemahkan manifesto BN.

''Kita turut meneliti bakal saingan di kawasan masing-masing untuk memastikan kita dapat menawarkan kepada rakyat calon yang lebih baik dan mampu memberi kemenangan majoriti dua pertiga.

''BN mengambil pendekatan berani dan tidak konvensional tetapi secara strategik dalam hal ini dengan tekad membentuk sebuah kerajaan yang dapat membela nasib rakyat dan membawa Kelantan melangkah ke era baru," ujarnya.

Mengenai kedudukannya, Annuar berkata, beliau bertanding bagi kerusi Parlimen kerana mengutamakan strategi parti dan ia merupakan sebahagian daripada pengorbanan.

Dr. Awang Adek juga merasa terharu dengan penghormatan dan kepercayaan yang diberikan terhadapnya.

Beliau menegaskan, meskipun terpaksa memikul tanggungjawab yang cukup berat memenuhi tuntutan parti dan harapan rakyat, ia akan dilakukan dengan penuh komitmen untuk membangunkan negerinya.

Utusan Malaysia Online

No comments: