Sunday, February 3, 2008

UMNO Kelantan terima siapa sahaja calon

BACHOK 27 Jan. – UMNO Kelantan menyambut baik ingatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu setiap pemimpin parti itu menerima hakikat bahawa ada dalam kalangan mereka yang tidak akan terpilih sebagai calon pada pilihan raya umum ke-12.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, pemimpin UMNO negeri tidak mempunyai masalah dan menerima dengan terbuka bahawa pemilihan calon diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti.

Menurut beliau, setiap keputusan akan diterima dan dipatuhi tanpa berbelah-bahagi kerana yang paling penting adalah agenda bagi memastikan kemenangan parti demi kebaikan semua rakyat Kelantan.

“Siapa sahaja calon yang dipilih kita akan terima, perkara ini (calon) tidak menjadi isu dan masalah di Kelantan kerana semua akur, setuju dan patuh dengan keputusan pucuk pimpinan kerana yang paling penting ialah memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dan merampas kembali negeri daripada Pas,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan 45 kunci gerai perniagaan di Pantai Irama dan Tangok kepada penyewanya di sini hari ini.

Gerai yang terletak di kawasan strategik dan menjadi tumpuan orang ramai serta menelan kos sebanyak RM680,000 itu telah siap dibina dan diduduki oleh peniaga terbabit pada tahun lalu.

Semalam, Najib mengingatkan setiap pemimpin UMNO supaya menerima hakikat bahawa ada dalam kalangan mereka yang tidak akan terpilih sebagai calon pada pilihan raya umum ke-12.

Sehubungan itu Timbalan Presiden UMNO itu berkata, mereka harus bersedia untuk menerima apa juga keputusan pucuk pimpinan sama ada terpilih atau sebaliknya.

Beliau menegaskan, sebagai anggota kepada sebuah parti, mereka tertakluk kepada apa jua keputusan serta peraturan dan disiplin yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai peluang kemenangan BN di negeri ini, Awang Adek berkeyakinan penuh dengan sokongan seluruh rakyat yang mahukan perubahan. Dengan kekuatan dan kerjasama antara parti komponen, kemenangan itu akan menjadi kenyataan, katanya.

Beliau berkata, rakyat negeri ini sudah muak dengan pelbagai janji Pas untuk membawa kemakmuran ke negeri ini sedangkan selepas 18 tahun memerintah mereka langsung tidak membuat sebarang perubahan hingga menjadikan negeri ini jauh ketinggalan.

“Kita tengok Terengganu yang kini ternyata amat pesat membangun hasil perubahan yang dibawa oleh kerajaan BN dan ia kini terlalu jauh meninggalkan Kelantan.

‘‘Rakyat kini sudah bijak untuk menilai pihak mana yang berupaya memberi kesenangan dan manfaat kepada mereka,” katanya.

No comments: