

![]() |
AWANG Adek Hussin dijulang oleh calon-calon Barisan Nasional selepas diumumkan sebagai bakal Menteri Besar Kelantan pada majlis pengumuman senarai calon BN di Bukit Marak, Kota Bharu semalam. |
KOTA BHARU 21 Feb. - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin mengetuai senarai calon Barisan Nasional (BN) Kelantan yang diumumkan hari ini sekali gus mengesahkan beliau sebagai calon Menteri Besar kelak.
Beliau akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perupok dan Parlimen Bachok bersama 60 peratus calon baru yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan usia.
Bagaimanapun tiada kejutan dalam senarai yang diumumkan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Annuar Musa di kediaman di sini.
Ini kerana kesemua 22 wakil rakyat BN sebelum ini dikekalkan sebagai calon termasuk dua yang berpindah ke kerusi Parlimen.
Annuar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang sebelum ini ADUN Kok Lanas akan bertanding bagi kerusi Parlimen Ketereh dan penyandang sedia ada, Datuk Alwi Che Ahmad akan mengambil alih tempatnya.
Bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Che Min Che Ahmad akan berpindah dari kerusi Parlimen Pasir Puteh ke kerusi DUN Limbongan manakala Amran Mat Nor dari DUN Selising menggantikannya.
Bagi kerusi Parlimen, dua penyandangnya digugurkan iaitu Datuk Zaid Ibrahim (Kota Bharu) yang digantikan oleh Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh dan Datuk Mohd Razali Che Mamat (Kuala Krai) digantikan oleh Dekan Fakulti Alam Bina Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Che Musa Che Omar.
Kesemua Ketua Bahagian turut dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 nanti, kecuali Ketua Bahagian Pasir Mas, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman yang sedia memberi laluan bagi membolehkan BN melakukan perubahan.
Bagi kawasan DUN, daripada 45 kerusi, 24 daripadanya adalah muka baru yang buat pertama kalinya turut menyenaraikan Naib Ketua Puteri UMNO negeri iaitu Kazuni Datuk Osman, 39, bagi kerusi DUN Tanjong Mas di samping calon tunggal Wanita, Datin Rahimah Mohamad (Ketua Wanita UMNO Machang).
Menurut Annuar, dalam menyusun senarai calon, BN telah mengambil kira penerimaan segenap lapisan politik melalui kesepakatan bersama di peringkat bahagian di samping kewibawaan dan keupayaan mereka menterjemahkan manifesto BN.
''Kita turut meneliti bakal saingan di kawasan masing-masing untuk memastikan kita dapat menawarkan kepada rakyat calon yang lebih baik dan mampu memberi kemenangan majoriti dua pertiga.
''BN mengambil pendekatan berani dan tidak konvensional tetapi secara strategik dalam hal ini dengan tekad membentuk sebuah kerajaan yang dapat membela nasib rakyat dan membawa Kelantan melangkah ke era baru," ujarnya.
Mengenai kedudukannya, Annuar berkata, beliau bertanding bagi kerusi Parlimen kerana mengutamakan strategi parti dan ia merupakan sebahagian daripada pengorbanan.
Dr. Awang Adek juga merasa terharu dengan penghormatan dan kepercayaan yang diberikan terhadapnya.
Beliau menegaskan, meskipun terpaksa memikul tanggungjawab yang cukup berat memenuhi tuntutan parti dan harapan rakyat, ia akan dilakukan dengan penuh komitmen untuk membangunkan negerinya.
Utusan Malaysia Online
Barisan Nasional (BN) Kelantan Khamis mengumumkan barisan calon pilihan raya yang diyakini mampu merampas Kelantan daripada PAS dengan Datuk Dr Awang Adek Hussin dilantik mengetuai jentera pilihan raya BN negeri.
Dr Awang Adek, penyandang kerusi Parlimen Bachok, kali ini akan bertanding di dua kerusi. Selain kekal di kawasan Parlimen itu, Timbalan Menteri Kewangan itu juga akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perupok, di bawah Parlimen Bachok.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Annuar Musa pada sidang akhbar bagi mengumumkan senarai calon itu di kediamannya di Seri Puri, Bukit Marak, di Kota Bharu Khamis berkata rasional BN meletakkan Dr Awang Adek bertanding di dua kerusi adalah untuk mengekalkan kemenangan BN di Bachok.
"Ia juga adalah sebagai persediaan meletakkan Dr Awang Adek sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru sekiranya BN berjaya memerintah Kelantan," katanya.
Annuar berkata Dr Awang Adek diperlukan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bachok memandangkan PAS dijangka akan meletakkan Timbalan Presidennya Nasharuddin Mat Isa di kerusi itu.
Mengulas lanjut pemilihan Dr Awang Adek sebagai calon Menteri Besar, Annuar berkata anak tempatan Bachok itu berpengalaman luas di peringkat kebangsaan yang pernah memegang jawatan Timbalan Gabenor Bank Negara selain jawatannya sekarang.
"Untuk membangunkan Koridor Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) Kelantan memerlukan seorang Menteri Besar yang mempunyai latar belakang ekonomi," katanya.
Pilihan raya kali ini turut menyaksikan perubahan apabila Annuar yang sebelum ini merupakan penyandang kerusi DUN Kok Lanas kini akan bertanding di kawasan Parlimen Ketereh.
Penyandang kerusi Parlimen Ketereh Datuk Alwi Che Ahmad akan menggantikan Annuar di DUN Kok Lanas.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed yang pada pilihan raya umum 2004 bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Jeli dan DUN Ayer Lanas, pada kali ini akan hanya bertanding bagi kerusi Parlimen Jeli.
Setiausaha politik Mustapa, Dr Azmi Setapa akan bertanding di DUN Ayer Lanas.
Penyandang BN di semua kerusi Parlimen Kelantan kekal bertanding di kerusi masing-masing, kecuali Kota Baharu dan Kuala Krai.
Kerusi Parlimen Kota Baharu yang disandang Datuk Zaid Ibrahim, akan digantikan dengan Ketua Umno Bahagian Kota Baharu yang juga Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.
Kerusi Parlimen Kuala Krai yang disandang Datuk Razali Che Mamat digantikan dengan seorang tokoh akademik, Prof Datuk Dr Che Musa Che Omar.
BN Kelantan mempertaruhkan calon termudanya bagi kerusi Parlimen Tumpat, iaitu seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Asraf Wajdi Dusuki yang berusia 35 tahun.
Setiausaha politik Mustapa, Dr Azmi Setapa akan bertanding di DUN Ayer Lanas.
Penyandang kerusi Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga kekal bertanding di kawasan yang sama.
Penyandang BN di semua kerusi Parlimen Kelantan kekal bertanding di kerusi masing-masing, kecuali Kota Baharu dan Kuala Krai.
Kerusi Parlimen Kota Baharu yang disandang Datuk Zaid Ibrahim, akan digantikan dengan Ketua Umno Bahagian Kota Baharu yang juga Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.
Kerusi Parlimen Kuala Krai yang disandang Datuk Razali Che Mamat digantikan dengan seorang tokoh akademik, Prof Datuk Dr Che Musa Che Omar.
Calon yang tewas pada pilihan raya umum lalu, Datuk Dr Nik Zain Omar, sekali lagi diberi peluang untuk menentang Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di DUN Chempaka.
Calon tunggal MCA, Ir Tan Ken Ten yang juga Ketua MCA Kota Baharu diberi kepercayaan bertanding di DUN Kota Lama.
BN Kelantan juga membariskan dua calon wanita iaitu Naib Ketua Puteri Umno Kelantan, Khazuni Osman untuk bertanding di DUN Tanjung Mas, dan Ketua Wanita Umno Bahagian Machang Datin Rahimah Mohamad di DUN Temangan.
Antara muka baru calon BN ialah bekas pemimpin Semangat 46 yang pernah menjadi Exco kerajaan negeri selama sepenggal (1990-1995) Zianon Abdin Ali yang akan bertanding di DUN Kemahang.
Sementara itu, Annuar berkata calon yang terdiri daripada gandingan muka baru dan lama itu dilihat mampu membawa kemenangan kepada BN dan melaksanakan agenda pembangunan yang dijanjikan untuk rakyat Kelantan.
"Pemilihan calon kali ini mengambil kira sokongan di peringkat akar umbi. Kita juga mendapat sokongan penuh daripada pemimpin yang tidak terpilih sebagai calon kali ini," katanya.
Katanya pada pada pilihan raya umum kali ini, BN Kelantan yakin memperolehi kemenangan dengan majoriti lebih dua pertiga bagi mengakhiri pentadbiran PAS selama 18 tahun di Kelantan.
Kebanyakan calon yang akan bertanding pada pilihan raya kali ini turut hadir pada sidang akhbar itu.
http://www.agendadaily.com/
Assalamualaikum.....
Selamat Datang! ke weblog untuk orghe-orghe Bachok. Weblog ini dihasilkan untuk sesiapa sahaja yang hendak bersembang-sembang, berkecek kiro, memberi pendapat tentang Bachok.
Semoga weblog ini akan menjadi wadah pemangkin
BACHOK BARU
BACHOK MAJU
Sebarang hasil tulisan hendaklah dihantar ke email.... orghebachok@gmail.com